mutakhir

Aduh, sakitnya...

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

MURID tahun dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Sitiawan melecur pada dada hingga ke kaki selepas air panas di dalam cerek elektrik digunakan untuk latihan amali tertumpah ketika mata pelajaran Sains di kelasnya, semalam.

Dalam kejadian antara 10 hingga 11 pagi itu, mangsa yang berusia lapan tahun melecur hampir keseluruhan hadapan badannya termasuk bahagian kemaluannya.

Difahamkan, tiga lagi rakannya turut melecur di beberapa bahagian badan, namun tidak seteruk mangsa berkenaan.

Bapa mangsa, M Loganathan, 46, berkata dia yang ketika itu berada di Larkin, Johor, terkejut apabila menerima panggilan daripada isterinya memaklumkan anaknya terkena air panas di sekolah sebelum bergegas pulang ke Sitiawan.

Menurutnya, anaknya yang dimasukkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi menerima rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) hospital berkenaan.

Katanya, tiga lagi rakan anaknya menerima rawatan di HSM selepas turut melecur di beberapa bahagian badan dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital semalam.

“Saya sudah bertanyakan kepada rakan anak saya mengenai kejadian itu dan saya dimaklumkan, kejadian berlaku setelah cerek elektrik plastik digunakan dalam eksperimen itu terjatuh hingga menyebabkan air panas tumpah terkena mereka.

“Mereka terkena air panas berkenaan kerana kerusi mereka terletak berhadapan dengan cerek itu yang diletakkan di atas meja sebelum tertumpah menyebabkan tidak sempat mengelak,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh.

Loganathan berkata, dia pergi ke sekolah anaknya itu untuk mendapatkan penjelasan dan cerita dimaklumkan pihak sekolah amat berbeza dengan diceritakan rakan anaknya.

Menurutnya, pihak sekolah mendakwa kejadian itu berpunca daripada dua murid dipercayai terlanggar meja berkenaan menyebabkan air panas tertumpah.

Katanya, walaupun pihak sekolah ada meminta maaf mengenai kejadian terbabit, dia berasa kecewa dan kesal apabila pihak terbabit seolah-olah lepas tangan kerana langsung tidak menghubunginya bagi mendapatkan perkembangan anaknya itu.

“Sudah hampir 30 jam kejadian, saya langsung tidak menerima panggilan daripada guru besar atau guru sekolah berkenaan bertanyakan keadaan anak saya, malah saya yang pergi ke sekolah untuk berjumpa mereka.

“Saya berharap pihak kementerian (Kementerian Pendidikan) akan menyiasat kejadian ini berdasarkan tiga perkara iaitu langkah keselamatan (sama ada diambil atau tidak), ikut SOP (prosedur operasi standard) atau tidak dan berlaku kecuaian atau tidak,” katanya.

Loganathan berkata, pihak kementerian harus menyiasat kes berkenaan seadilnya supaya kejadian sama tidak berulang lagi dan berharap anaknya akan pulih dengan segera.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mat Lazim Idris ketika dihubungi NSTP memberitahu, pihak sekolah sudah menyediakan laporan awal kejadian dan sudah dipanjangkan kepada kementerian.

“Pihak sekolah pada amnya sudah mengambil tindakan segera mengikut SOP sedia ada dalam menangani kes ini, namun JPN dan PPD akan membuat siasatan kejadian ini untuk memastikan sama ada berlaku kecuaian dan ketidakpatuhan prosedur oleh guru terbabit dalam melaksanakan kerja amali di bilik sains ini.

“Laporan penuh akan dikemukakan kepada kementerian nanti sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 9:42pm
d