mutakhir

Dadah 'kebun sayur' [METROTV]

Oleh HM Digital

Tangkak: Pemeriksaan polis dalam dua stor di sebuah kebun sayur di Bukit Gambir di sini, kelmarin, membawa kepada penemuan dadah jenis ganja seberat 11.752 kilogram bernilai RM29,380.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak membuat serbuan di kebun sayur berkenaan sebaik menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat lima lelaki berusia 30 hingga 47 tahun di sebuah meja di depan pondok di kebun sayur berkenaan.

Katanya, empat daripada mereka leka menghisap ganja dengan menggunakan ‘bong’ buatan sendiri manakala seorang lagi cuba melarikan diri, tetapi gagal.

“Pemeriksaan terhadap seorang daripada suspek terbabit kemudian membawa kepada penemuan satu paket dipercayai mengandungi ganja seberat 2.51 gram yang disimpan dalam beg pinggangnya.

“Polis membuat pemeriksaan terhadap dua stor yang menyimpan peralatan kebun dan simpanan racun yang kemudian membawa penemuan sebuah bekas plastik besar berwarna hijau.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi ketulan 11 paket dipercayai dadah jenis ganja seberat 11.752 kilogram yang dianggarkan bernilai RM29,380,” katanya pada sidang media di IPD Tangkak di sini, semalam.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 10:58am
d