mutakhir

Hang curi 447 balak?

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan pemilik kilang memproses kayu di Baling, semalam, selepas dia disyaki memiliki 447 balak bernilai RM370,000 yang tidak dibayar cukai.

Jurucakap JPNK berkata, suspek berusia 57 tahun dipercayai melakukan kerja memproses dan pengeluaran kayu menggunakan balak yang tidak mempunyai tag siri.

"Ketika serbuan anggota Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan tengah hari semalam, kita mendapati 447 balak disimpan di belakang kilang, tidak mempunyai tag nombor penanda serta tidak mempunyai pas pemindah.

"Malah siasatan turut mendapati semua balak berkenaan tidak dibayar cukai yang dianggar mencecah RM10,000 oleh pemiliknya," katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, kayu balak itu berkenaan berkemungkinan adalah dicuri berikutan hanya balak ditanda dibenarkan dibawa keluar.

"Bagi mengelak daripada dikesan, mereka mungkin mengeluarkan balak pada waktu malam selepas balai pemeriksaan hasil hutan tutup atau pada awal pagi sebelum balai pemeriksaan dibuka pada 8.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 84 (1) dan 69 (1), Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM 50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun," katanya.

Suspek dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan siasatan lanjut akan dilakukan sebelum proses pendakwaan.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 11:15am
d