mutakhir

Rumah untuk Alimah

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: “Pak cik yang memasak untuk kami tiga beranak. Mak cik sekarang dah tak boleh bangun. Anak yang tinggal bersama berusia 34 tahun pula orang kurang upaya (OKU),” kata Alimah Md Idris, 72, yang tidak lekang dengan senyuman walaupun kehidupannya dihimpit kesusahan.

Alimah yang menghidap penyakit angin ahmar sejak lebih setahun lalu kini hanya boleh bergerak di atas katil dan tidak mampu berjalan, apatah lagi bergerak untuk melakukan kerja rumah termasuk memasak.

Menurutnya, suaminya Md Yasin Sulaiman, 76, melakukan segala-galanya walaupun pergerakannya terbatas akibat faktor usia.

“Ketika sihat, saya melakukan semua kerja rumah, malah suami juga tidak perlu memasak.

“Tapi, nak buat macam mana, mak cik pun tak boleh berjalan, jadi terpaksalah pak cik masak hari-hari,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Damien Yeo Shen Li di Kampung Bukit Duyong di sini, semalam.

Hadir sama, wakil Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Rizalman Syed dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Anuar Ali.

Tiga beranak itu tinggal di rumah milik adik Alimah yang menetap di Johor selepas rumah mereka hangus dijilat api pada pertengahan Julai lalu.

Pada kunjungan itu, Shen Li memberi khabar gembira kepada keluarga terbabit apabila memaklumkan pemaju akan membina semula rumah mereka selepas musnah terbakar dengan kos ditanggung sepenuhnya pemaju yang bekerjasama dengan Politeknik Melaka berjumlah antara RM70,000 dan RM80,000.

Selain itu, bantuan RM5,000 turut disalurkan MAIM kepada keluarga berkenaan.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 11:33am
d