mutakhir

'Penat menoreh, ini saja hasilnya...'

Oleh Hassan Omar

“KERAJAAN harus melihat masalah harga getah yang terlalu rendah sekarang kerana kami rasa tidak berbaloi memerah keringat dengan hasil yang sangat rendah," kata penoreh getah, Abdul Manan Husin, 74.

Dengan harga getah beku semasa RM1.90 sekilogram (kg), warga emas berasakan keringatnya dan isteri, Zaharah Ahmad, 66, menoreh seolah-olah tidak setimpal dengan pendapatan yang diperoleh.

Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa meneruskan kerja yang sudah sebati dengan diri sejak berusia belasan tahun demi mencari sesuap nasi.

Abdul Manan berkata, dia tidak sanggup membiarkan saja kebun getah seluas 0.8 hektar di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah itu tidak ditoreh kerana hanya itulah aset yang dimilikinya bagi mendapatkan rezeki.

"Sudah terlalu lama harga getah berada bawah RM2kg. Harga paling tinggi pula adalah RM4.70kg pada Januari tahun lalu, tetapi ia bertahan hanya kira-kira dua minggu, sebelum merudum selepas itu.

"Sejak itu, harga terus berada bawah RM2 hinggalah RM1.90kg sekarang dan berharap kerajaan dapat melihat masalah ini kerana kami tidak ada sumber rezeki lain, selain hasil jualan getah beku," katanya ketika ditemui di kebun getahnya, hari ini.

Katanya, dia dan isteri sempat menikmati harga jualan RM4.70kg dengan dua kali jualan pada awal Januari tahun lalu, tetapi sekarang terpaksa berpuas hati dengan harga sekadar RM1.90kg.

"Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana kebun getah ini adalah milik sendiri dan boleh menorehnya tanpa bergantung kepada orang mengambil upah menoreh.

"Setiap tiga hari selepas torehan, saya boleh mengumpul antara 30 hingga 40kg getah beku yang dijual selepas ditolak peratus kandungan air pada getah," katanya.

Sejak tahun 2013, harga getah beku berada di bawah paras RM2, tetapi ia mula meningkat kepada RM2.50 mulai September 2016.

Harga terus meningkat melepasi RM4 pada Disember 2016 dan mencapai RM4.70 pada awal Januari 2017, tetapi ia hanya bertahan dua minggu, sebelum kembali menurun hingga sekarang.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 12:31pm
d