mutakhir

Kelindan putus kaki lori rempuh treler

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

KELINDAN lori yang dalam perjalanan menghantar isi ayam ke Kuala Lumpur, putus kaki kiri selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer 85, Lebuhraya Central Spine Road (CSR) di Lipis, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Mohamad Asyraf Zakaria, 21, yang berasal dari Kampung Padang To’la, Pasir Mas, putus kaki kiri dan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK).

Pemandu lori itu, Muhammad Zulhilmi Mohd Zaidi, 26, cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Tiba di tempat kejadian, lori dipandu Muhammad Zulhilmi dipercayai tidak menyedari treler di hadapannya dan melanggar belakang kenderaan itu.

“Akibat rempuhan, lori dinaiki kedua-dua mangsa terbalik dan melintang di tengah jalan sebelum muatan isi ayam yang berada dalam kotak, bertaburan di atas jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan orang awam sebelum Mohamad Asyraf dikejarkan ke HKK.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, lalu lintas ke Kuala Lumpur dilencongkan ke jalan lama menerusi susur Kubang Rusa.

“Laluan itu dibuka semula selepas proses mengangkat dan mengalihkan lori selesai,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen Rule 10 LN Kaedah-Kaedah Lalu lintas 1959.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 1:29pm
d