mutakhir

17 jam bertarung nyawa

Oleh Hasbi Sidek

PENUNGGANG motosikal yang terbabit dalam kemalangan kelmarin, di Jalan Sentul, Kuala Lumpur meninggal dunia 9.45 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Malputra Amirudin, 33, parah pada bahagian kepala akibat bergesel dengan seorang lagi penunggang motosikal yang melarikan diri sejurus kejadian, di lokasi berhampiran Gereja Katolik St Xavier itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa dan seorang lagi penunggang motosikal dari arah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menghala ke Pasar Sentul.

"Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, mangsa seorang lelaki menunggang motosikal ke arah Pasar Sentul sebelum bergesel sesama sendiri dengan sebuah lagi motosikal.

"Akibat kejadian, lelaki berkenaan rebah ke jalan menyebabkan mangsa parah pada bahagian kepala. Manakala seorang lagi penunggang bertindak melarikan diri dari lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke HKL menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia 9.45 pagi semalam di Unit Neurologi HKL sewaktu menerima rawatan," katanya.

Menurut beliau, sehingga kini tiada saksi tampil memberikan kerjasama berhubung kejadian, malah penunggang motosikal yang bergesel dengan mangsa juga melarikan diri.

"Kami meminta jasa baik orang awam yang berada di lokasi dan melihat kejadian, diminta tampil memberikan kerjasama menyalurkan maklumat mengenai kemalangan itu," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 1:33pm
d