mutakhir

'PERAHMAT menyeleweng dari ajaran Islam'

Oleh Mohd Nazllie Zainul

MAJLIS Fatwa Negeri Sabah mengharamkan ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) di negeri ini.

Mufti Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, pihaknya sudah bermesyuarat dan menetapkan semua ajaran termasuklah ilmu Syahadah dan Zikir Nafas yang dibawa pertubuhan berkenaan adalah salah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Semua orang Islam di sini diharamkan berpegang serta beramal dengan ajaran yang diasaskan oleh Ismail Kassim daripada PERAHMAT atau seumpamanya.

"Segala bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan ajaran ilmu Syahada, Zikir Nafas dan sebagainya yang berkaitan melalui pelbagai medium hendaklah disekat serta-merta.

"Setakat ini, kita sudah berjaya mengesan beberapa kelompok yang mengikut ajaran terbabit di sekitar Kota Kinabalu dan dipercayai mula bergiat aktif sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.

"Kita akan sentiasa memantau aktiviti kumpulan ini agar mereka tidak terus menyebarkan sebarang ajaran selain menasihatkan pengikut supaya segera bertaubat," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di Kota Kinabalu, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar.

Sementara itu, sambutan Maal Hijrah peringkat negeri berlangsung pada 11 September hadapan bertempat di Dewan Sa’adah Wisma MUIS dan dijangka bakal disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Mengangkat tema Menyantuni Umat Membawa Rahmat, sambutan sama turut dilaksanakan di seluruh peringkat daerah dan kampung.

Antara aktiviti bakal dibuat termasuklah Majlis Perhimpunan Maal Hijrah, segmen hijrah di radio, ziarah Kariah dan ziarah hospital.

Dalam pada itu, Aidi berkata kerajaan negeri menegaskan orang Islam yang melaksanakan aktiviti berkaitan ajaran ilmu Syahadah serta Zikir Nafas adalah salah serta boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Sabah 1995 atau undang-undang lain yang berkuatkuasa di negeri berkenaan.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 2:13pm
d