mutakhir

[UPDATE] Bekas vokalis Panji tagih bantuan...

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SAYA sudah tidak berdaya untuk bekerja, malah nak berbual juga sukar. Jika boleh memang hendak segera sembuh tetapi doktor maklumkan hati saya gagal untuk berfungsi.”

Begitu kata bekas vokalis kumpulan Panji, Mohd Rafi Ibrahim, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akibat menderita hepatitis C.

Mohd Rafi yang lebih dikenali sebagai Opie, 48, sebelum ini dikejarkan ke HTAA selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berehat di rumah mereka di Indera Sempurna, Sabtu lalu.

Opie yang sebelum tidak sedarkan diri dan dirawat di wad kecemasan HTAA, kini boleh berinteraksi dan berbual dengan pelawat, namun tidak mampu bercakap untuk tempoh lama.

“Doktor kata saya perlu menjalani satu lagi pemeriksaan lanjut pada 20 Ogos ini, kini saya disahkan mengalami hepatitis C dan kegagalan hati untuk berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui NSTP di HTAA, hari ini.

Opie yang berasal dari FELDA Jerangau, Terengganu pernah popular dengan album Senang pada 1993 hingga tercalon untuk anugerah Artis Baru Terbaik (Berkumpulan) pada Anugerah Industri Muzik 1993.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kasih Yang Tak Pasti’ mengakui dirinya sudah tiga bulan tidak bekerja sebagai tukang paip kerana menderita penyakit itu dan mengharapkan ihsan saudara terdekat.

Opie yang mendirikan rumah tangga dengan Suhailiza Ahmad, 42, sejak 11 tahun lalu mempunyai enam anak termasuk tiga yang masih kecil dan bersekolah.

Sementara itu, Suhailiza berkata, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 06019021080458 atas nama Suhailiza Ahmad.

Berita berkaitan

Vokalis kumpulan Panji kritikal

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 3:42pm
d