mutakhir

Empat ditahan bersama dadah RM500,000 [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS menumpaskan sindiket memproses dadah yang aktif sejak setahun lalu dalam beberapa serbuan yang diadakan di Pulau Pinang, kelmarin.

Bertindak melalui hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menyerbu tiga lokasi dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 54.9 kilogram (kg) bernilai RM500,000.

Ketua Polis Negeri Datuk Seri A Thaiveegan berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah kondominium di Jalan Batu Uban, Gelugor apabila pemeriksaan mendapati rumah itu dijadikan makmal haram memproses dadah.

“Dalam serbuan jam 2.45 petang itu, kita menahan dua lelaki berusia 40 dan 54 tahun yang ketika itu sedang leka memproses dadah untuk siasatan lanjut.

“Susulan penahanan dua lelaki itu membawa kepada dua lagi tangkapan iaitu penjawat awam berusia 51 tahun di Butterworth dan pengedar dadah berusia 47 tahun di Sungai Batu, Bayan Lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Georgetown, hari ini.

Thaiveegan berkata, dalam serbuan berkenaan pihaknya turut menyita lima kereta dan dua motosikal termasuk dua utas jam tangan serta tiga akaun bank dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM276,446.49

“Siasatan lanjut terhadap keempat-empat suspek yang ditahan itu mendapati mereka menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah antara enam hingga setahun yang lalu.

“Dua daripada mereka juga didapati mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Katanya, mereka direman sehingga Rabu depan bagi siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 6:36pm
d