mutakhir

UiTMSAT-1 dilancar ke orbit

Oleh Ruwaida Md Zain

NANO-satelit pertama Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTMSAT-1 dilancarkan ke orbit dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) tepat jam 5.45 petang hari ini.

Siaran secara langsung yang dipancarkan dari Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM Prof Dr Mohd Kamal Harun.

Siti Hamisah berkata, UiTM adalah universiti pertama di negara ini yang berjaya menempatkan nano-satelit hasil penyelidikan dua penuntutnya.

“Ini pencapaian kali pertama dan sejarah bagi kita di Malaysia. Tahniah kepada UiTM yang akan menjadi pemangkin membantu kita dalam bidang angkasa dan merancakkan penyelidikan sedia ada.

“Penyelidikan seumpama ini tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata dan ia memerlukan bantuan serta sokongan daripada industri pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Siaran Langsung Pelepasan Satelit Nano UiTMSAT-1 ke orbit yang dipancarkan dari JAXA di Dataran Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah UiTM Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Prof Dr Mohd Nasir Talib dan Pengarah Pusat Komunikasi Satelit UiTM Prof Dr Mohamad Huzaimy Jusoh.

Nano-satelit kelahiran UiTM itu hasil kerjasama BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui Kyushu Institute of Technology (KyuTech), Jepun.

Dua penuntut pasca siswazah UiTM mewakili Malaysia antara pelajar yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga nano-satelit BIRDS 2: UITMSAT-1, manakala pelajar dari Bhutan dan Filipina masing-masing menghasilkan BHUTAN-1 dan MAYA-1.

Kedua-dua mereka dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik itu adalah Syazana Basyirah Mohammad Zaki dan Muhammad Hasif Azami.

Pada 29 Jun lalu, UiTMSAT-1 dilancarkan di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat menerusi roket SpaceX Falcon 9, pada jam 5.46 petang (5.46 pagi waktu Amerika Syarikat).

Sementara itu, Muhammad Hasif yang turut menghadiri majlis itu merakamkan penghargaan kepada UiTM atas peluang yang diberikan untuk membina satelit berkenaan.

“Data yang diperoleh daripada satelit itu akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan.

“Satelit ini mempunyai enam misi antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

“Selepas setengah jam satelit berada di ruang angkasa, kita sudah boleh mengumpul data yang diperlukan selaras dengan misi satelit itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 8:53pm
d