mutakhir

Syukur dapat rumah baru

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SYUKUR Alhamdulillah, anak saya kini lebih selesa dan kerja menguruskannya menjadi lebih mudah, terima kasih semua pihak yang membantu membaiki rumah kami.”

Itu kata ibu tunggal Fatimah Hashim, 46, dari Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal, Sungai Petani, selepas kerja membaik pulih rumahnya siap sepenuhnya hasil usaha gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.

Fatimah yang mempunyai seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU), Aziana Shaari, 14, sebelum ini hidup dalam rumah serba daif sehingga menyukarkan pergerakannya untuk menguruskan anak bongsu daripada enam beradik itu yang disahkan lumpuh.

“Sebelum ini, rumah kami sempit dan bilik air berada jauh dari bilik Aziana menyebabkan pergerakan agak terhad memandangkan rumah ini didiami empat anak saya yang lain.

“Keadaan sekarang memang jauh berbeza kerana anak kini mempunyai ruangan khas sendiri lebih luas serta berdekatan dengan bilik air,” katanya ketika ditemui pada ‘Majlis Penyerahan Projek Baiki Rumah OKU Lumpuh Adik Aziana’ di kediaman mereka, hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul turut hadir pada majlis berkenaan bagi meninjau keadaan rumah berkenaan selain menziarahi Aziana.

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan mengenai kepayahan hidup Aziana yang hanya mampu terbaring dan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ibunya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Kejadian malang menimpa Aziana ketika remaja berkenaan cuba memetik buah mangga dengan memanjat dinding rumah setinggi dua meter sebelum terjatuh hingga menyebabkan dirinya dihempap konkrit.

Sementara itu, Penyelaras Projek yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sayang Sungai Petani, Kamaruddin Kassim berkata, sejumlah RM15,414 diperuntukkan bagi kerja membaik pulih rumah keluarga berkenaan yang bermula pada akhir Jun lalu dan siap sepenuhnya, minggu lalu.

“Kami memperoleh sumbangan daripada Johari dan orang ramai yang prihatin dengan nasib keluarga ini.

“Kerja membaik pulih membabitkan pembinaan asas rumah, bilik air baru serta ruangan khas untuk menempatkan Aziana yang sebelum ini duduk di dalam bilik kurang selesa,” katanya.

Kamaruddin berkata, antara NGO terbabit dalam kerja membaik pulih rumah keluarga itu adalah Pertubuhan Memperkasakan Diri dan Pembangunan Pendidikan Masyarakat Malaysia (SEEDs), Unggas Malaysia dan Briged Bakti Malaysia (BBM).

Beliau berkata, usaha bagi pemasangan elektrik dan air sedang dilakukan memandangkan rumah itu selama ini menggunakan bekalan elektrik dan air daripada rumah ibu bapa Fatimah yang tinggal bersebelahan rumah mereka.

Berita berkaitan

'Kurela'

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 10:13pm
d