mutakhir

Ingatkan kucing, rupanya harimau

Oleh Safuri Kamarudin

HENING subuh sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran harimau akar yang 'menceroboh' masuk ke reban ayam penduduk di Kampung Jelutong, Chepir, Sik, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, penduduk, Siti Isma Zakaria, 32, berkata, dia terkejut apabila terdengar bunyi bising ayam dari reban di belakang rumahnya.

Siti Isma berkata, ibunya Kamaruah Hassan, 52, kemudian keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat kelibat haiwan seakan kucing bersaiz besar.

"Pada mulanya mak menyangka kucing, tetapi melihat haiwan itu lebih besar dan ekor panjang baru kami menyedari haiwan itu adalah harimau akar.

"Bimbang keselamatan kami sekeluarga, saya terpaksa meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) Sik bagi menangkap haiwan itu," katanya ketika ditemui di sini, pagi ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Kapten (PA) Mohd Mukhrij Md Sabir, berkata pihaknya menerima aduan pada 6.40 pagi sebelum empat anggota dihantar bagi memberi bantuan.

"Harimau akar itu dipercayai keluar daripada hutan berdekatan untuk mencari makanan dan masuk ke dalam reban ayam penduduk.

"Anggota APM terpaksa mengambil masa agak lama bagi menangkap harimau akar itu menggunakan peralatan khas kerana ia bertindak agresif," katanya.

Ini adalah kes pertama pada tahun ini membabitkan harimau akar yang tersesat ke kawasan kampung bagi mencari makan.

Mohd Mukhrij berkata, harimau akar itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 10:28am
d