mutakhir

Peti sejuk ku dibawa lari isteri...

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LELAKI warga emas terkedu selepas mendapati peti sejuk di dalam rumah sewanya lesap dipercayai 'dilarikan' isterinya dalam kejadian di Jalan Ricemill, Miri, semalam.

Kejadian disedari pada 12 tengah hari selepas lelaki berusia 70 tahun itu pulang ke rumahnya dari pusat bandar dan mendapati pintu rumahnya diumpil.

Menurut sumber, lelaki terbabit kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati peti sejuk di dalam rumahnya itu lesap.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit mendakwa kejadian itu dipercayai dilakukan oleh isterinya berusia 68 tahun yang sudah tidak tinggal sebumbung bersamanya.

"Suami isteri dikatakan dalam proses perceraian dan tidak lagi tinggal sebumbung sejak lebih seminggu lalu," katanya.

Katanya, lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 3:51pm
d