mutakhir

Amaran Mat Sabu

Oleh Fazrik Kamarudin

“SAYA tidak boleh terima sekiranya fitnah atau unsur fitnah dilemparkan terhadap saya,” tegas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sehubungan beliau memberi amaran kepada pihak yang cuba membuat fitnah mengenai dirinya berhubung tugasnya di Kementerian Pertahanan.

“Saya berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang mengkritik, menegur bahkan mengecam prestasi saya sebagai Menteri Pertahanan.

“Saya menerima kritikan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Pertahanan dan bekas Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini terhadap saya dan Kementerian Pertahanan sebagai satu teguran untuk menilai dan memperbaiki prestasi serta kesungguhan untuk menerajui kementerian ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau lagi, kritikan dan pandangan sinis adalah perkara biasa yang perlu kita ambil perhatian sebagai menteri atau sebagai pemimpin kepada satu organisasi yang besar.

Sebelum ini, Mohamad dikritik oleh pelbagai pihak selepas membuat kenyataan berhubung keupayaan aset ketenteraan yang dimiliki Malaysia.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-PKR Port Dickson) di Dewan Rakyat baru-baru ini yang meminta penjelasan berhubung isu peruntukan dan pertahanan, beliau berkata cabang aset darat, laut dan udara semasa Malaysia berada di kedudukan terbawah dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Sebelum itu, beliau turut menerima kritikan selepas mendedahkan hanya empat dari 28 pesawat pejuang buatan Rusia miliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mampu terbang yang dianggap membocorkan maklumat sensitif pertahanan negara.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 5:16pm
d