mutakhir

'Allahyarham dah jahit sendiri baju kurung'

Oleh Shaiffulazhar Misri

“DIA (Allahyarham) sudah merancang untuk memakai baju kurung yang dijahitnya sendiri untuk majlis konvokesyen ini. Namun dia pergi dahulu meninggalkan kami akibat jangkitan kuman pada paru-paru,” kata seorang bapa, Annuar Khusal, 54.

Annuar berkata, anaknya, Allahyarham Nabilah Begum, 22, adalah antara penerima sijil Diploma Perniagaan Antarabangsa pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-17 Politeknik Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh, hari ini.

Namun, takdir Allah SWT apabila anaknya meninggal dunia di Hospital Selayang, pada 20 Februari lalu.

Nabilah Begum mempunyai masalah kesihatan sejak berusia 13 tahun tetapi hanya mengalami batuk dua minggu terakhir sebelum meninggal dunia.

“Ketika dia ditahan di wad, tiada sebarang tanda yang dia akan pergi. Malah, kira-kira jam 6 pagi pada hari kejadian juga keadaan dia tetap seperti biasa sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir jam 9.30 pagi,” katanya dalam nada sebak ketika ditemani isteri dan dua lagi anaknya ketika ditemui selepas penyerahan diploma berkenaan.

Seorang lagi graduan, Alkhizer Mat Isa, 22, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal berkata, faktor kekurangan diri bukan alasan untuknya menamatkan pengajian Diploma Perakaunan di Politeknik Melaka.

“Setiap hari adalah cukup mencabar bagi diri saya kerana perlu menguruskan diri, menghadiri kelas dan sebagainya. Tetapi, itu semua bukan halangan untuk berjaya dalam kehidupan.

“Saya turut berterima kasih dengan sahabat dan tenaga pengajar kerana banyak membantu sepanjang saya menuntut di sini,” katanya yang menggalakkan lebih ramai OKU melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub berkata, seramai 551 graduan diraikan pada konvokesyen itu yang terdiri daripada graduan Diploma Kejuruteraan Awam; Diploma Kejuruteraan Mekanikal; Diploma Kejuruteraan Elektronik Kawalan; Diploma Perniagaan Antarabangsa dan Diploma Perakaunan.

“Bermula tahun 2000, Politeknik Melaka sudah melahirkan seramai 7,943 graduan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) sudah dirangka bagi membentuk graduan Aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti.

“Ini terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan Politeknik Melaka mencapai aras 97.76%,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 6:36pm
d