mutakhir

Pemuda, 5 remaja suspek rogol wanita OKU

Oleh Hadzlihady Hassan

NAFSU setan. Itu ungkapan sesuai buat sekumpulan enam lelaki apabila mereka sanggup menjadikan wanita Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai mangsa rogol semata-mata kerana mahu memuaskan nafsu masing-masing.

Wanita berusia 27 tahun dan tergolong dalam kategori OKU lembam itu dijadikan sebagai mangsa kumpulan lelaki terbabit yang merogolnya di kawasan hutan di kampung di Bayan Lepas, dekat Balik Pulau, Sabtu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, ketika hari kejadian adik perempuan mangsa pulang ke rumah pada 12.30 tengah malam dan melihat kakaknya tiada di rumah.

Menurutnya, adik perempuan mangsa kemudian bersama suami dan abangnya keluar mencari wanita terbabit di merata tempat sebelum mereka menemuinya di kawasan hutan berhampiran rumah.

"Ketika itu, mangsa ditemui berada bersama beberapa lelaki di kawasan hutan terbabit namun mereka melarikan diri sejurus menyedari kehadiran keluarga wanita berkenaan.

"Selepas disoal, mangsa pada mulanya memberitahu dia hanya berjalan-jalan sekitar kawasan terbabit namun dia akhirnya membuka cerita pernah dirogol beberapa lelaki yang dikenalinya," katanya.

Anbalagan berkata, susulan daripada itu, ahli keluarganya membuat laporan polis dan pihakya berjaya menahan enam suspek berusia 14 hingga 23 tahun di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

"Dua daripada suspek adalah pelajar tingkatan lima dan empat manakala seorang daripada mereka yang berusia 23 tahun tidak bekerja.

"Tiga lagi suspek berusia 14 tahun tidak bersekolah kerana dibuang dan seorang daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 8:05pm
d