mutakhir

Minta SKMM siasat akaun FB hina Islam

Oleh Samadi Ahmad

PAS Cawangan Revena Villa, Taman Putra Perdana Puchong hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun Facebook (FB) berhubung kenyataan yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Cawangannya, Suhaizil Sulaiman dan timbalannya Mohd Asri Zakaria di Balai Polis Taman Putra Perdana pada 10 pagi sebelum diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Sepang, 3.30 petang tadi.

Suhaizil berkata, laporan polis dibuat untuk meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akaun FB terbabit dengan segera dan meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya lebih sensitif dan mengambil tindakan segera kepada sesiapa sahaja yang memburukkan agama Islam.

"Tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ketegangan antara agama dan sikap menghormati agama lain juga perlu dikekalkan bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni'

"Gejala ini perlu ditangani segera agar tidak berleluasa selain mengelak timbul sikap kebencian sesama kaum," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Laporan polis berkenaan dibuat terhadap pemilik tiga akaun FB yang memuat naik kenyataan yang memburukkan Nabi Muhammad SAW dan menghina umat Islam yang melakukan tawaf di Kaabah.

Ketiga-tiga pemilik akaun itu turut menyatakan agama Islam sebagai agama pengganas.

Disiarkan pada: August 11, 2018 @ 11:29pm
d