mutakhir

'Terlalu dingin'

Oleh Nor Azizah Mokhtar

“Terlalu dingin.” Itu komen Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berhubung sambutan kewujudan Bilik Gerakan Khas aduan berkaitan perjudian haram yang dibuka di seluruh kontinjen negeri sejak 20 Julai lalu.

Mazlan berkata, pihaknya tidak pasti apakah puncanya masyarakat di ibu negara terlalu kurang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram yang berlaku di sekeliling mereka menerusi talian aduan yang disediakan di bilik gerakan khas berkenaan.

"Buat masa ini maklumat daripada orang ramai di Kontinjen Kuala Lumpur terlalu dingin... sangat kurang.

"Kita pun tidak tahu mengapa sambutannya dingin padahal rakyat yang mahukan kegiatan perjudian ini dibanteras tetapi bila kita minta maklumat, mereka tidak mahu salur maklumat," katanya kepada pemberita pada sidang media, malam tadi.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Jom Ronda dan Perasmian Kabin Rondaan Awam Polis dan Angkatan Tentera (RAPAT) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Koperasi Polis Fasa 2 di Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kuala Lumpur (JPNIN), Suraya Wen dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Menurut Mazlan, masyarakat tidak perlu takut untuk menyalurkan maklumat kerana identiti mereka akan dirahsiakan.

"Kita beri jaminan bahawa maklumat mengenai pengadu tidak akan didedahkan, tiada pihak yang akan tahu maklumat itu datang daripada mereka.

"Malah pengadu tidak perlu datang ke bilik gerakan, mereka hanya perlu hubungi talian yang disediakan dan kita juga sudah tegaskan kepada pegawai kita yang bertugas di bilik gerakan terbabit untuk tidak mendedahkan butiran pengadu kepada mana-mana pihak atau mereka berdepan tindakan buang kerja," tegas beliau.

Tambahnya, kegiatan perjudian ini dijalankan sindiket yang sanggup mengeluarkan wang untuk membeli maklumat berkenaan maka pihaknya amat bertegas berhubung perkara yang membabitkan kerahsiaan itu.

"Kita akan teruskan usaha membanteras kegiatan perjudian walaupun buat masa ini aduan yang diterima amat kurang.

"Polis Kuala Lumpur mempunyai lapan pasukan yang sentiasa bersiap sedia untuk melakukan operasi pembanterasan kegiatan judi haram di ibu negara secara habis-habisan," kata Mazlan.

Sementara itu, Suraya menggesa lebih ramai orang muda di ibu negara dapat membabitkan diri dengan program KRT seterusnya menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang ada di kawasan kediaman masing-masing.

"Buat masa ini, kira-kira 70 peratus masyarakat yang terbabit dengan KRT dan SRS adalah di kalangan penduduk yang berusia 40 tahun dan ke atas dan orang muda hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada jumlah itu.

"Mungkin golongan muda ini kurang berminat dan mereka lebih terkejar-kejar dengan kerjaya masing-masing, justeru mereka kurang beri perhatian kepada kehidupan bermasyarakat dan ada kemungkinan mereka tidak menyedari kewujudan program SRS ini," jelas beliau.

Justeru, katanya JPNIN perlukan lebih banyak hebahan termasuk daripada media berhubung program KRT dan SRS supaya orang ramai tahu akan fungsinya untuk membantu pihak berkuasa menjaga ketenteraman awam dalam komuniti masyarakat.

Ends

From: Adzrin

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 2:01am
d