mutakhir

Enam penjaga premis judi online ditahan

Oleh Ibrahim Isa

ENAM lelaki ditahan dalam beberapa siri serbuan Ops Dadu Khas bermula Rabu lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan di beberapa premis tambah nilai telekomunikasi yang dijadikan pusat judi atas talian di sekitar daerah itu.

“Kami memeriksa 39 premis dan menahan enam lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 40-an yang bekerja sebagai penjaga di lima premis judi terbabit.

“Selain itu, kami merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menganjurkan perjudian atas talian termasuk telefon bimbit (enam), tablet (satu), modem (dua) dan wang tunai berjumlah RM3,384.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai dan intipan yang dilakukan.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti perjudian kerana ia menyalahi undang-undang negara.

Selain itu, katanya, polis mengalu-alukan maklumat orang ramai bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 5:51pm
d