mutakhir

Suami belasah isteri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI tergamak membelasah isterinya hanya kerana wanita terbabit meminta izin pulang ke rumah keluarganya dalam kejadian di Kuala Terengganu.

Kejadian dipercayai berlaku jam 3 petang 4 Ogos lalu selepas wanita, 36, itu meminta izin daripada suspek, 33, untuk pulang ke rumah keluarganya di Marang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek bagaimanapun tidak membenarkan mangsa keluar dari rumah sambil memberi amaran supaya tidak meminta tolong daripada orang lain selain mengugut akan memukulnya jika berdegil.

Katanya, suspek bagaimanapun tiba-tiba naik hantu apabila memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki tanpa menghiraukan rayuan isterinya.

“Suspek semakin agresif apabila bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar yang ada di ruang tamu rumah.

“Akibat tindakan itu, mangsa menanggung kesakitan di kepala, peha, lutut dan lengan. Mangsa yang mengesyaki suaminya penagih dadah melarikan diri ke rumah orang tuanya kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun hanya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada Khamis lalu kerana tidak berani keluar dari rumah kerana bimbang suspek mencarinya.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 5:57pm
d