mutakhir

'Allah hendak uji kita' - Wan Maimunah [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

PELAKON veteran Wan Maimunah Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka akibat sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-paru sejak semalam.

Wan Maimunah, 64, yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai ibu berkata, dia mula mengalami sesak nafas selepas melawat adiknya di Gadek, Alor Gajah.

“Doktor yang melakukan x-ray memaklumkan ada jangkitan kuman pada paru-paru. Adatlah, selain faktor cuaca, umur pun sudah macam (lanjut) ini.

“Ibu bersyukur sangat, dalam pada tidak ada Facebook, Instagram, tetapi ibu terima kiriman WhatsApp dari Makkah yang mengirimkan doa dari sana. Itu pun sudah seribu rahmat buat ibu,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan, hari ini.

Dalam linangan air mata, Wan Maimunah berkata, dia sentiasa bersyukur kerana dikelilingi ramai insan istimewa yang sentiasa memberikan perhatian dan kasih sayang walaupun tidak mempunyai ikatan persaudaraan.

Kata pelakon yang pernah menjulang trofi Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH selama lima tahun berturut-turut itu, dia reda dengan ujian menimpanya kerana percaya kepada ketentuan-Nya.

“Allah SWT hendak uji kita. Agaknya, ada waktu ibu leka, lalai. Beginilah Allah kejutkan. Syukur, dalam waktu ini masih boleh lagi meneruskan kehidupan.

“Cuma, rasa letih (sesak nafas), terkejut sangat sebab tidak pernah mengalami keadaan seperti ini,” katanya yang sesekali batuk.

Pada hujung November 2016, pelakon itu pernah dimasukkan di Hospital Jasin, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan jantung bengkak.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan perhatian termasuk ahli keluarga sendiri.

“Selain adik-beradik dan rakan artis yang mengambil berat, ibu tidak sangka daripada doktor, kakitangan hospital, pengawal keselamatan, peminat serta anak-anak angkat semuanya mengambil berat.

“Malah, bukan sahaja Melayu, bangsa India dan lain-lain juga turut sama memberikan perhatian. Itulah nilai kasih sayang yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya sayu.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 6:24pm
d