mutakhir

Kisah pilu tujuh beradik

Oleh Khalid Latip

BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitu keperitan dilalui seorang gadis di Kampung Penibong di Pulau Bruit, Mukah apabila terpaksa mengambilalih tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas bapa mereka meninggal dunia, lima bulan lalu.

Nur Khattijah Abdullah, 18, berkata sejak pemergian bapanya, dia dan enam adiknya hilang tempat bergantung.

Lebih memeritkan katanya, ibu mereka berusia 38 tahun pula tidak pulang ke rumah sejak dua bulan lalu, dipercayai ke bandar untuk mencari pekerjaan.

“Saya dan adik-adik terpaksa mengharap belas ihsan orang kampung untuk mendapatkan sesuap nasi. Apa yang paling merisaukan apabila mengenangkan nasib adik bongsu, Safaruddin, 5, yang sering bertanyakan ibu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurutnya, dia tidak lagi bersekolah selepas tamat Tingkatan Dua, namun kesemua enam adiknya yang lain masih meneruskan persekolahan seperti biasa.

Katanya, dia mengakui memang terlalu sukar untuk menjaga enam adiknya, apatah lagi tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Namun selaku anak sulung, dia menyedari tanggungjawab dan berjanji untuk menjaga adik-beradiknya sebaik mungkin.

“Ibu ke bandar dua bulan lalu. Dia cuma beritahu kami untuk bekerja. Namun sejak pergi meninggalkan kami, ibu tidak menghantar sebarang khabar berita. Memang sedih dan sukar diterima terutama adik -adik saya yang masih kecil.

“Selepas ayah meninggal dunia, kemudian ibu pula menghilangkan diri, makan minum kami hanya mengharapkan belas ihsan orang kampung. Pada waktu malam pula, kami juga terpaksa bergelap kerana rumah ini belum mendapat bekalan elektrik,” katanya.

Sementara itu, nasib malang tujuh beradik berkenaan mendapat perhatian Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop meluangkan masa untuk menziarahi di rumah mereka di Kampung Penibong, semalam.

Beliau menghulurkan bantuan kewangan serta barangan keperluan harian dan dapur.

“Kes ini sudah dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut, namun saya sedikit kecewa apabila agensi berkaitan lewat membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah PPRT yang didiami oleh tujuh beradik ini.

“Justeru, saya meminta pemimpin Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) memantau kebajikan anak-anak itu yang masih bersekolah dan memaklumkan keperluan mereka sementara menunggu bantuan JKM,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 7:29pm
d