mutakhir

Nasib baik pemandu tak cedera

Oleh Nor Amalina Alias

TIGA lelaki bernasib baik tidak cedera apabila kereta dipandu dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di dua lokasi berasingan di Bachok, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pegawai Bomba Kanan II Ibahim Mohd Rohni berkata, ketiga-tiga pemandu berusia antara 20 ke 30-an itu sedang memandu kenderaan masing-masing ketika ribut melanda.

Beliau berkata, kedua-dua kejadian sekitar 5 petang, hari ini.

Katanya, lokasi pertama membabitkan dua kereta di jambatan pekan Jelawat dan lokasi kedua membabitkan sebuah kereta di Tangok.

“Beberapa kenderaan melalui pekan Jelawat terpaksa bergerak perlahan kerana ribut.

“Nasib tidak menyebelahi dua pemandu kereta Proton Wira dan Proton Satria apabila kenderaan mereka dihempap pokok tumbang merintangi jalan di pekan Jelawat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, satu lagi kereta Perodua Kancil dihempap pokok di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tangok.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang memandu seorang diri sempat keluar menyelamatkan diri dan tidak cedera.

“Di pekan Jelawat, kami mengambil masa 15 minit untuk memotong pokok tumbang membabitkan sembilan anggota manakala di Tangok, kami mengambil masa hanya beberapa minit bagi membolehkan semua pemandu meneruskan perjalanan.

“Ribut hari ini adalah kejadian kedua berlaku di Bachok mengakibatkan pokok tumbang,” katanya.

Sementara itu, kejadian ribut di Jelawat itu mengakibatkan kerosakan beberapa kedai.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 11:05pm
d