mutakhir

'Tiada tempat nak mengadu' [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

TIGA hari tidak menjamah makanan sehingga badannya menggigil.

Itu keperitan pernah ditempuh lelaki warga emas berusia 80 tahun yang hidup sebatang kara di sekitar kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tebuk Rukun, Parit Baru Baroh, Sabak Bernam.

Rubadi Abas kini masih dalam keadaan daif biarpun menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan sama sejak beberapa tahun lalu.

Lebih menyedihkan, rumah didudukinya itu menunggu masa untuk roboh berikutan retak hampir keseluruhan selain lantai mendap dan menjadi tempat haiwan berbisa bersarang.

Rubadi yang juga anak jati kampung itu berkata, dia hidup bersendirian selepas berpisah dengan isterinya, kira-kira 40 tahun lalu.

“Tubuh saya kini sudah tidak lagi berupaya dan mujur ada dua sahabat tinggal di kawasan berdekatan kerap menghantar makanan kepada saya.

“Bukan setiap hari saya dapat makan dan kadangkala tidak menjamah sebarang makanan selama tiga hari,” katanya ketika ditemui NSTP di rumahnya, semalam.

Hadir sama, Pegawai Khas Penyelaras Parlimen Sabak Bernam, Mohd Zaki Sungib.

Rubadi berkata, dia terpaksa menghuni rumah usang itu kerana tidak mengetahui cara meminta bantuan daripada pihak berwajib.

“Tiada tempat saya mengadu nasib. Sakit dan demam hanya saya menghadapinya seorang diri,” kata bapa beranak satu itu.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata, pihaknya akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak atasan dalam usaha membantu Rubadi keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Selain itu, kami bersama beberapa agensi berkaitan mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan rumah warga emas berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 1:04am
d