mutakhir

NGO Wanita Islam kesal

Oleh Asmah Rusman

GABUNGAN Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita Islam kecewa dan kesal terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang dilihat terburu-buru dan tidak cermat susulan pertemuan dengan wakil komuniti transgender, Nisha Ayub.

Dalam kenyataannya kepada media, gabungan itu berpendapat, sebarang kenyataan perlu merujuk pandangan setiap pihak yang terbabit dalam menangani masalah transgender seperti pihak agama, perundangan, badan wanita serta NGO.

"Kenyataan Dr Mujahid hanya bersumberkan pandangan Nisha yang mendedahkan golongan transgender didiskriminasi oleh masyarakat dalam pertemuan selama 40 minit.

"Tiada maklumat lanjut sama ada pendedahan Nisha ini disokong oleh kajian terperinci atau sekurang-kurangnya statistik laporan polis berhubung kejadian diskriminasi ke atas golongan Mak Nyah," katanya.

NGO itu berkata, dalam situasi sebegini, satu kajian yang lebih menyeluruh sewajarnya dijalankan untuk mendapatkan gambaran serta solusi yang lebih holistik.

"Kami menuntut penjelasan lanjut mengenai bentuk diskriminasi serta hak yang diperjuangkan golongan transgender ini dan sekiranya berlaku, ia perlu dibuktikan dengan statistik laporan kementerian berkenaan yang mengatakan sedemikian.

"Walaupun Malaysia ini majoritinya adalah umat Islam, setakat yang kami perhatikan, golongan transgender bebas berada dalam masyarakat tanpa kekangan," katanya.

Katanya, kenyataan yang terlalu umum itu membuka ruang penindasan ke atas wanita fitrah, malah dalam sidang media Dr Mujahid menyebut bahawa transgender ada hak untuk pergi ke tempat awam dan tempat ibadah.

"Ini kenyataan rasmi yang cuai kerana tempat awam merangkumi tandas wanita dan dalam erti kata lain, kenyataan itu dilihat membenarkan transgender mengunjungi tandas wanita serta memaksa kami wanita fitrah berkongsi tempat awam dengan lelaki berpakaian wanita.

"Keadaan itu mendedahkan wanita kepada gangguan seksual kerana membuka peluang kepada mana-mana lelaki untuk menyamar menjadi transgender dan masuk ke dalam tandas wanita, tempat mandi wanita, kolam wanita, loker wanita atau ruang solat wanita," katanya.

NGO itu berkata, mereka bertegas mempertahankan hak wanita fitrah dan tidak ragu untuk menggunakan proses mahkamah sekiranya kenyataan itu menyebabkan peningkatan penggunaan ruang awam wanita oleh golongan transgender.

"Kami gusar bebanan akan ditanggung wanita fitrah terutama Muslimah yang perlu menjaga aurat mereka dengan lelaki bukan mahram yang merangkumi golongan transgender," katanya.

Katanya, golongan itu masih tetap dianggap lelaki menurut hukum Islam walaupun berpakaian wanita atau sudah menjalani pembedahan penukaran jantina yang haram disisi Islam apatah lagi jika dibenarkan berkongsi tempat ibadah seperti masjid dan surau.

Gabungan itu juga menyeru kaum lelaki supaya menghormati hak golongan transgender menggunakan tandas lelaki serta tempat awam lain tanpa gangguan serta dijamin keselamatan mereka.

NGO itu menyeru agar dakwah kepada golongan transgender untuk kembali kepada fitrah asal sebagai lelaki diteruskan dan disokong oleh pihak kementerian kerana jelas cara hidup mereka bertentangan hukum Islam.

Jumaat lalu, Mujahid mengadakan pertemuan dengan wakil transgender, Nisha Ayob, bagi berbincang mengenai beberapa isu berbangkit.

Dalam sidang media yang diadakan ketika itu, Mujahid menjawab pertanyaan wartawan mengenai golongan transgender perlu menggunakan tandas lelaki atau wanita.

Bagaimanapun, kenyataan Mujahid yang seolah-olah membenarkan golongan transgender menggunakan tandas wanita, menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata tidak setuju.

Susulan itu, Mujahid dalam satu kenyataan, hari ini, membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan terbabit.

Mujahid berkata, kenyataan itu dibuat secara spontan dan ia bukanlah kenyataan muktamad mahupun arahan.

Berita berkaitan

Mujahid mohon maaf

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 12:15pm
d