mutakhir

Penolong Pegawai Perubatan didakwa keluar MC palsu

Oleh Ramli Ibrahim

PENOLONG Pegawai Perubatan didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini atas kesalahan mengeluarkan sijil cuti sakit yang disyaki palsu, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Faizul Amin Che Mat,35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mohd Faizul didakwa melakukan kesalahan memalsukan dokumen iaitu sijil cuti sakit bernombor CKT F No 0937857 dan CKT F No 0938008 dengan niat ianya digunakan untuk tujuan menipu.

Tertuduh yang bertugas di Hospital Gua Musang didakwa melakukan kesalahan itu antara Oktober hingga Disember tahun lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail.

Mohd Rosly membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes berkenaan.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 1:51pm
d