mutakhir

Ajal jatuh dari pokok petai

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEHILANGAN warga emas sejak Rabu lalu, akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam longkang belakang rumahnya di tepi Jalan Tebrau, Johor Bahru, malam tadi.

Mayat Ibrahim Abd Rahman, 70, ditemui dalam keadaan berbau dipercayai terjatuh dari pokok petai di belakang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.02 malam yang memaklumkan tentang penemuan mayat lelaki itu dalam longkang di tepi Jalan Tebrau menuju ke arah bandar raya.

"Maklumat awal daripada anak saudara mangsa bahawa kali terakhir dia berjumpa lelaki itu pada petang Selasa lalu di hadapan rumah mangsa.

"Warga emas itu adalah duda dan tinggal bersendirian dalam rumah yang didirikan atas tanah pusaka bapanya dan dia menyara hidup dengan menjual hasil tanaman di belakang rumahnya," katanya.

Beliau berkata, anak saudara mangsa menyedari lelaki itu sudah lama tidak keluar daripada rumah sebelum bertindak memeriksa rumah berkenaan semalam.

Katanya, anak saudara mangsa serta saudara yang lain kemudian memeriksa sekeliling rumah mangsa dan terbau sesuatu sebelum memeriksa lanjut dan menjumpai mayat bapa saudaranya itu di dalam longkang.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari pokok petai yang berada di belakang rumahnya dengan selipar miliknya masih terdapat pada pangkal pokok petai yang dipanjat.

"Terdapat kesan dahan patah pada pokok petai itu selain galah yang disandarkan pada pokok terbabit.

"Ketinggian antara pokok petai dengan longkang tempat mangsa ditemui adalah kira-kira 15 meter kerana pokok petai itu berada di tepi tebing," katanya.

Shahurinain berkata, anak saudara mangsa, mangsa seorang yang pendiam dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk di kawasan kejiranannya.

“Anak saudara mangsa juga memberitahu lelaki itu selalu memanjat pokok petai untuk dijual sebagai punca pendapatan,” katanya.

Menurut Shahurinain, pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 1:54pm
d