mutakhir

[UPDATE] Musa belum angkat sumpah

Oleh Kristy Inus dan Mohd Izham Unnip Abdullah

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali menjelaskan ketidakhadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman di persidangan DUN kali ini tidak disebut di dalam dewan kerana beliau belum mengangkat sumpah.

Syed Abas berkata, pihaknya perlu mengambil kira kedudukan itu walaupun mengakui ada menerima surat daripada peguam Musa memaklumkan sebab ketidakhadiran bekas Ketua Menteri Sabah itu pada persidangan DUN kali ini.

“Tiada keperluan untuk menyebut namanya (Musa) kerana beliau belum mengangkat sumpah. Saya tak mahu komen mengenai perkara ini dan kandungan surat (Musa) buat masa ini. Tunggu kenyataan saya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di luar dewan persidangan DUN Sabah, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Abas berkata, beliau akan membalas surat Musa, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai kandungannya.

Terdahulu, Syed Abas ketika memulakan sesi persidangan DUN Sabah, hari ini hanya menyebut menerima dua surat mengenai ketidakhadiran ADUn daripada Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) dan Datuk Osman Jamal (Bebas-Balung).

Ini kali ketiga Musa tidak hadir persidangan DUN Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Minggu lalu, Musa menerusi peguamnya meminta tambahan masa untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN disebabkan keadaan kesihatannya berikutan masih menerima rawatan di United Kingdom.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, bekas Ketua Menteri Sabah itu mempunyai tempoh 90 hari untuk mengangkat sumpah dari tarikh persidangan pertama DUN iaitu pada 11 Jun lalu, sebelum disytiharkan kosong jika gagal berbuat demikian.

Berita berkaitan

Nama Musa Aman tidak disebut

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 3:09pm
d