mutakhir

Tunggu laporan kimia, perubatan kes Adam Rayqal [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Sesyen Selayang, hari ini menetapkan 12 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes pengasuh Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di dalam peti sejuk, bulan lalu.

Ketetapan itu dibuat Hakim Rasyihah Ghazali bagi menantikan serahan laporan kimia dan perubatan mangsa.

Pada 15 Julai lalu, tertuduh, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas dua pertuduhan yang dihadapinya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala bayi berkenaan.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, dia turut dituduh melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa dan menyebabkannya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Semua kesalahan itu dilakukan di rumah di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves antara 6.20 petang dan 6.50 petang pada 3 Julai lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Syafiq manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 3:34pm
d