mutakhir

Mekanik parah dihempap bas meninggal dunia

Oleh BERNAMA

MEKANIK yang parah di kepala ketika cuba menggantikan tayar bas, Sabtu lalu, meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, hari ini.

Saudara mangsa, Zamri Umor, 33, berkata, mangsa Abd Rahman Ishak, 39, meninggal dunia kira-kira 5 pagi tadi selepas kritikal dihempap bas setelah jek hidraulik yang digunakan terlucut ketika menggantikan tayar berkenaan di tempat kerjanya di bengkel di Temin, Jerantut.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar Jerantut hari ini,”katanya ketika dihubungi di Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi Sabtu lalu mangsa mengalami kecederaan di kepala dan telinga setelah kenderaan berat itu menghempapnya ketika dia sedang berbaring di bawah kenderaan berkenaan untuk menggantikan tayarnya.

Melihat kejadian itu majikan dan rakan sekerja mangsa segera membantu mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi ambulans untuk membawanya mendapatkan rawatan lanjut di Hoshas.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 4:09pm
d