mutakhir

Kolej Vokasional tipu pelajar?

Oleh Zairee Mohd Yasak

GARA-GARA perubahan sistem pembelajaran di pertengahan pengajian, penuntut yang mengambil pengajian diploma, hanya layak menerima sijil.

Perubahan itu menimbulkan kekeliruan dan rasa sedih dalam kalangan ibu bapa yang berasakan masa depan anak mereka seolah-olah dipermainkan sistem pengurusan Kolej Vokasional (KV).

Apa tidaknya, ibu bapa terbabit mendakwa, perubahan syarat kelayakan mendapat diploma yang diikuti anak mereka diubah ketika penuntut berada di pertengahan pembelajaran.

Seramai 12 penuntut Diploma Pemesinan Industri dari Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka, pengambilan 2014 dinafikan hak menggenggam diploma yang dijadual majlis konvokesyennya bulan depan.

Difahamkan, pelajar terbabit tidak memenuhi kriteria layak mendapatkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), tetapi hanya layak mendapatkan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang disetarakan Lembaga Peperiksaan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bapa pelajar, Md Yatim Jaafar, 62, berkata, selain dikenakan pelbagai syarat tambahan yang menyukarkan anak-anak mereka sepanjang tempoh pembelajaran, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengubah sistem yang dirangka selepas penuntut memulakan pengajian, mengelirukan.

“Bukannya kami nak bantah sistem yang dirangka jika ia memudahkan anak kami memiliki sijil yang diperakui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan berpeluang mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Kami juga akui anak kami tidak cemerlang dalam akademik. Tapi janganlah sekat masa depan mereka untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik, sedangkan mereka mengikut saluran yang betul,” katanya, mewakili ibu bapa kumpulan pelajar terbabit, di Melaka, semalam.

Kata Md Yatim, antara syarat yang diubah sepanjang anaknya belajar di Bukit Katil, Melaka adalah kepujian dalam Bahasa Melayu (1104) yang hanya dikuatkuasakan Januari tahun lalu, berbanding syarat yang dikenakan pada 2014, cukup sekadar lulus.

Md Yatim berkata, perubahan syarat kelulusan secara tiba-tiba itu, hanya sesuai dilaksanakan kepada pelajar yang bakal mendaftar masuk KV, bukannya kepada pelajar yang sedang belajar, lebih-lebih lagi di tahun akhir seperti anaknya.

Sementara itu, ibu pelajar lain, Siti Sabariah Md Irham, 45, berkata, tindakan mengubah syarat di saat akhir itu mematahkan semangatnya untuk menggalakkan ibu bapa lain menghantar anak mereka ke institut kemahiran itu.

“Sehingga ada ibu bapa yang mengalah, dari memperjuangkan masa depan anak mereka dengan kerenah KPM yang berubah-ubah, ibarat anak kami seperti tikus makmal untuk sistem yang bakal diperkenalkan.

“Janganlah remehkan usaha anak-anak kami ini. Lebih baik kami hantar anak-anak kami ke sekolah harian dan galakan mereka belajar di institut kemahiran sahaja jika kami tahu kesudahannya begini,” katanya.

Tambahnya, lebih mengusutkan keadaan apabila nama anak mereka tidak tersenarai untuk majlis konvokesyen yang bakal berlangsung, selepas dua minggu pihak KV memungut bayaran itu daripada ibu bapa pelajar.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 6:25pm
d