mutakhir

[UPDATE] Pengajar diberhentikan serta-merta

Oleh Nur Saliawati Salberi

DUA pengajar Pusat Perkembangan Kanak-kanak (PPKK) yang video mereka mengasari kanak-kanak di premis itu menjadi tular di media sosial, diberhentikan kerja serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Ginie Lim Siew Lin berkata, kedua-dua wanita terbabit sudah diberhentikan oleh majikan susulan insiden itu.

“Difahamkan, premis ini mempunyai empat pekerja dan kedua-dua mereka yang dipercayai terbabit dalam insiden mengasari kanak-kanak berusia empat tahun itu, sudah diberhentikan.

“Pusat jagaan itu menempatkan 23 orang kanak-kanak dan beroperasi sejak lebih lima tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengunjungi PPKK itu bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Burhanuddin Bachik di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, hari ini.

Ginie berkata, semakan dibuat mendapati pusat jagaan itu beroperasi secara sah dan berdaftar dengan Jabatan Pelajaran negeri.

“Premis ini dibenarkan beroperasi seperti biasa, hanya pekerja yang terbabit diberhentikan, malah tenaga pengajar juga mempunyai sijil yang sah.

“Saya juga akan meminta pihak JKM memberi khidmat kaunseling kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang terbabit,” katanya.

Beliau turut menasihati semua pengusaha pusat jagaan agar membuat pemerhatian dan melakukan pemantauan sepanjang masa, agar mengesan tanda-tanda awal jika pekerja mereka cenderung mengasari kanak-kanak.

Sementara itu, pemilik PPKK terbabit ketika ditemui enggan mengulas lanjut mengenai kejadian kerana tidak mahu menganggu siasatan polis.

Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak yang menjadi mangsa dera tidak membuat laporan polis, berikutan pihak PPKK terbabit sudah melaporkannya.

Berita berkaitan

Polis siasat pengajar kasari kanak-kanak

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 7:28pm
d