mutakhir

Balasan bagi suapan RM150 [METROTV]

Oleh Shaarani Ismail

DUA pengawal keselamatan warga Nepal masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku salah memberi suapan kepada seorang anggota polis, Julai lalu.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu terhadap Chaudhary Satya Narayan, 30, dan rakannya, Das Kanhaiya Lal, 40, selepas berpuas hati dengan keterangan, fakta serta rayuan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Hakim memerintahkan hukuman berjalan bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 24 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Mereka bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Dua sahabat itu secara bersama didakwa memberi suapan wang tunai sebanyak RM150 kepada Lans Korporal Mohd Fitri Lazim bagi mengelak dikenakan tindakan kerana tidak memiliki lesen memandu kelas B2 sah ketika ditahan.

Kesalahan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat simpang tiga di antara Jalan Datuk Onn Jaaffar dan Sultan Idris Shah, Ipoh pada 4.55 petang 9 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 24 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang dengan lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh kelihatan tunduk dan faham dengan pertuduhan dikenakan ke atas mereka yang dibacakan dalam bahasa Hindi oleh jurubahasa mahkamah.

Pihak pembelaan sebelum itu memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertama dilakukan tertuduh selain memberikan kerjasama penuh sepanjang prosiding berlangsung serta menjimatkan masa mahkamah.

Kumuthambal bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang awam supaya tidak memandang ringan isu berkaitan rasuah.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 9:06pm
d