mutakhir

Alamak, tertekan pedal minyak...

Oleh Mohd Roji Kawi

GARA-GARA tertekan pedal minyak, kereta yang dipandu wanita merempuh rumah di Kampung Segedup, Batu Kawa, Kuching, malam tadi.

Akibat kejadian kira-kira 8 malam itu, bahagian depan rumah terbabit roboh, manakala kereta jenis Honda CRV pula remuk.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta yang dipandu wanita berusia 53 tahun hilang kawalan ketika membuat pusingan U berdekatan rumah berkenaan.

"Dalam keadaan kelam kabut, wanita itu cuba menekan brek, namun dia tersilap apabila tertekan pedal minyak menyebabkan kereta itu meluncur laju sebelum merempuh rumah terbabit.

"Bagaimanapun, pemandu kereta itu serta penghuni rumah tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya lagi, siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti jumlah kerugian yang dialami rumah terbabit.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 9:09am
d