mutakhir

Pengasas kuih keria antarabangsa meninggal dunia

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Pengasas Kuih Keria Antarabangsa Haji Jalil, di Limbongan di sini, Jalil Tompang meninggal dunia semalam akibat pelbagai komplikasi selepas terbabit kemalangan jalan raya bulan lalu.

Jalil Tompang, 72, menghembuskan nafas terakhir jam 2.10 pagi di sisi anaknya ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Menurut anak kelimanya, Sudirman, 38, arwah bapanya dimasukkan ke hospital selepas kemalangan motosikal ketika pulang menziarahi kubur isterinya, Rahmah Dollah (pengasas Kuih Keria Antarabangsa Limbongan) di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai, pada 10 Julai lalu.

“Selepas emak meninggal dunia pada Jun lalu, ayah menziarahi pusara ibu pada setiap pagi sebelum membeli sarapan.

“Bagaimanapun, pada awal bulan lalu, ayah terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan membeli sarapan dan patah tulang paha, punggung, rusuk selain retak tulang tangan,” katanya, ketika ditemui di tanah perkuburan terbabit.

Sudirman memberitahu, berikutan kecederaan itu bapanya perlu menjalani pembedahan, namun keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum dimasukkan ke wad ICU.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 10:48am
d