mutakhir

Alahai, RM9,100 aku lesap!

Oleh Shahrinnahar Latib

AKIBAT teruja dengan tawaran hadiah cabutan bertuah wang tunai RM9,000, peniaga menanggung kerugian RM9,100 selepas ditipu sindiket skim cabutan bertuah di Lipis, akhir bulan lalu.

Mangsa wanita berusia 55 tahun itu memasukkan wang berkenaan secara berperingkat ke dalam satu akaun yang diberikan dengan lima transaksi dilakukan bermula 3 Ogos hingga Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula 27 Julai lalu di pasar raya di Kuala Lipis, apabila mangsa didatangi oleh wanita yang memintanya membuat cabutan bertuah.

"Mangsa membuat cabutan kad berkenaan dan suspek memberitahu mangsa memenangi hadiah wang tunai. Mangsa kemudian dibawa ke bilik di sebuah hotel dan seorang lagi suspek menanti di bilik berkenaan.

"Suspek kedua berkenaan yang juga wanita meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM3,000 jika mahu mendapatkan hadiah wang tunai sebanyak RM9,000," katanya dalam satu kenyataan media, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bersetuju sebelum membayar wang tunai sebanyak RM500 sebagai pendahuluan.

"Beberapa hari kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada wanita yang memperkenalkan diri sebagai Maya memaklumkan dia boleh memilih sama ada untuk mendapat hadiah wang tunai atau kereta," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa memilih untuk mendapat hadiah kereta sebelum dia memasukkan wang sebanyak lima kali pindahan ke dalam satu akaun menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM9,100.

"Selang beberapa hari kemudian, suspek ada meminta wang sebanyak RM5,000 sebagai pembayaran cukai pendapatan akan tetapi mangsa mengabaikan permintaan itu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

"Pihak polis sudah merakam percakapan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 11:12am
d