mutakhir

[UPDATE] 'Nak pengsan tengok kereta dalam rumah'

Oleh Mohd Roji Kawi

“JIKA cucu saya masih menonton televisyen, mungkin malapetaka menimpa keluarga kami," kata Sahariman Jumpot, pemilik rumah di Kampung Segedup, Batu Kawa, Kuching, yang roboh dirempuh kereta, semalam.

Sahariman, 52, berkata, sebelum kejadian kira-kira 4 petang itu, cucunya Haikal Fauzi, 11, berada di ruang televisyen yang dirempuh Honda CRV itu.

Katanya, cucunya memang setiap petang menonton televisyen sebaik pulang dari sekolah.

"Syukurlah, dia keluar ketika itu. Sebelum itu memang dia ada di depan televisyen dan gelas air minumannya pun masih berada di situ ketika kejadian berlaku," katanya.

Mengimbau kejadian itu, Sahariman berkata, ketika itu dia sedang tidur di bilik tidurnya yang bersebelahan ruang televisyen itu.

"Saya terjaga apabila terdengar dentuman dan rumah pula bergegar. Pada masa yang sama, tangan saya terkena serpihan konkrit dinding bilik tidur yang pecah.

"Dalam keadaan mamai, saya keluar dan hampir pengsan apabila melihat kereta berada di dalam rumah saya," katanya.

Kakitangan Lembaga Air Kuching itu berkata, sebaik menyedari rumahnya dirempuh kereta itu, dia terus mencari cucunya kerana bimbang dia tersepit di bawah runtuhan dinding.

"Saya lega cucu tiada di sana dan saya juga mencari isteri dan anak yang lain. Nasib baiklah ketika kejadian isteri dan anak lelaki saya berada di dapur, manakala anak gadis saya sedang belajar memandu manakala dua lagi bersekolah," katanya.

Katanya lagi, kerugian yang dialaminya termasuk kerosakan televisyen dan set karaoke dianggarkan berjumlah RM150,000.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kesilapan wanita berusia 53 tahun itu menekan pedal minyak, ketika membuat pusingan U di depan rumah terbabit.

Beliau berkata, pemandu kereta itu serta penghuni rumah tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut RULE 10 LN166/59 Kaedah Lalu Lintas untuk kes kemalangan jalan raya yang tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

Berita berkaitan

Alamak, tertekan pedal minyak...

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 12:00pm
d