mutakhir

Segala-galanya untukmu, Ayah...

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: “Saya cakap pada ayah, kita doa banyak-banyak dekat Raudhah. Selepas itu apabila kami pergi jumpa orang Tabung Haji (TH), Alhamdulillah mereka bagi kami tinggal sebilik.”

Demikian kata Nur Adnin Abd Razak, 28, yang datang ke Tanah Suci dengan tanggungjawab besar menjaga bapanya yang kudung kaki kanan selepas dipotong akibat kemalangan jalan raya.

Nur Adnin berkata, kemudahan untuk mereka tinggal sebilik suatu pemberian Allah yang amat disyukurinya, begitu juga bagi bapanya Abd Razak Said, 67 dan ibu, Juairiah Abd Wahab, 65, yang sering kurang sihat.

Menurutnya, ketika ditempatkan di bilik lain semasa dua hari pertama di Madinah, bapanya berdepan banyak kesukaran terutama untuk ke tandas kerana teman sebiliknya tidak mampu menguruskan.

“Ketika duduk di bilik lain, ayah tak boleh tidur dan kakinya pun dah bengkak. Itu yang saya risau dan sedih,” katanya dengan suara tersekat-sekat menahan tangisan.

Kaki Abd Razak terpaksa dipotong selepas dia parah dan koma selama sebulan akibat dirempuh bas ketika pulang daripada kerja sebagai pengawal keselamatan pada 2005.

Justeru, tiga beranak berasal dari Alor Star, Kedah itu berterima kasih kepada TH yang prihatin kerana mengizinkan mereka tinggal sebilik selepas dua hari di Madinah dan berterusan sehingga ke hotel penginapan di Makkah.

Menurut Nur Adnin, kedatangan dia bersama ibu bapanya bagi menunaikan musim haji kali ini seakan satu perancangan Allah yang sudah tertulis sekian lama, tanpa disedari.

“Saya baru menamatkan pengajian Diploma Pembantu Perubatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Johor Bahru, Jun lalu. Dengan ilmu yang ada, lebih mudah saya menguruskan ayah,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia agak pelik kerana tawaran belajar di ILKKM diterimanya pada 2015, sedangkan permohonan dibuat sejurus mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007.

Nur Adnin berkata, ketika tawaran itu hadir, dia sudah memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari politeknik di Kelantan dan sedang menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Entah kenapa, saya pilih untuk masuk ILKKM dan berhenti belajar di UPM. Kini, baru saya tahu Allah memang takdirkan begitu supaya saya boleh menjaga ayah.

“Saya anak tunggal daripada perkahwinan ayah dengan emak. Anak ayah dan emak hasil perkahwinan mereka sebelum ini masing-masing sudah berkahwin dan tinggal dengan keluarga sendiri,” katanya.

Mengenai persiapan dan harapannya menjelang hari wukuf pada Isnin depan, Nur Adnin berkata, dia amat berharap agar mereka sekeluarga ditempatkan dalam khemah yang sama di Arafah dan Mina.

“Saya harap Allah permudahkan urusan. Semoga kami dapat tinggal dalam khemah yang sama. Tapi, kalau tak dapat, tak apa.

“Saya dah cakap pada ayah dan emak, kita duduk saja bawah pokok sama-sama,” katanya yang tidak sanggup melihat ayahnya berdepan kesusahan.

Sementara itu, Abd Razak juga berulang kali mengucapkan terima kasih kepada TH atas pelbagai bantuan dan kemudahan yang diberikan kepadanya.

“Semasa di Alor Setar lagi, saya dibawa dengan ambulans untuk ke lapangan terbang dan di Madinah serta di Makkah, diberi pula kami tinggal sebilik. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada TH,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 2:41pm
d