mutakhir

'Hadiah untuk atuk, opah'

Oleh Mohamed Farid Noh

“MESEJ WhatsApp arwah yang berkongsi gambar anak bongsunya dengan status gambar ‘hadiah untuk atuk dan opah’ membuat saya sebak,” kata Mohamed Ahmed, 67.

Mohamed adalah bapa kepada Mohd Fazly Reza Mohamed, 30, pemandu Toyota Vios yang terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer 135 Jalan Batu Pahat-Muar, dekat Peserai, Batu Pahat, malam tadi.

Mohd Fazly Reza yang juga pengurus sebuah restoran makanan Jepun di Muar, maut bersama rakan sekerjanya, Muhamad Izhuan Kahar, 24, dalam kemalangan kira-kira jam 9 malam itu.

Penumpang belakang, Muhamad Basri Hamadan, 24, yang kritikal kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail, manakala seorang lagi rakan mereka, Nor Hasyim Abu Bakar, 34, sudah dibenarkan keluar daripada hospital tengah hari ini.

Mohamed berkata, anaknya itu dalam perjalanan pulang ke Muar bersama tiga lagi rakan sekerjanya selepas selesai menghadiri perlawanan badminton yang dianjurkan restoran tempatnya bekerja di Batu Pahat, petang semalam sebelum kemalangan.

“Memang setiap hari Arwah Mohd Fazly Reza akan menghantar mesej di kumpulan WhatsApp keluarga, namun mesejnya kelmarin meruntun hati saya apabila menghantar gambar anak bongsunya, Muhammad Rayyan Daniyal, 3 bulan, dengan status ‘hadiah untuk atuk dan opah’.

“Apabila saya lihat semula mesejnya sebak rasa hati, saya tidak sangka arwah akan pergi secepat ini. Isteri arwah, Zawahir Mohamad, sebelum ini berpantang anak bongsunya itu di rumah saya di Taman Seri Tengah, Kluang.

“Arwah juga berjanji akan pulang ke kampung membawa anaknya termasuk yang sulung, Muhammad Rayqarl Darwish, 3, selepas dia menyelesaikan urusan kerja, namun kini dia sudah pergi,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Dalam kemalangan semalam kereta Toyota Vios yang dipandu Mohd Fazly Reza tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 135, Jalan Batu Pahat-Muar, dekat Peserai.

Jenazah Mohd Fazly Reza dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, Kluang, manakala jenazah Muhamad Izhuan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, Muar.

Berita berkaitan

Dua maut, dua parah kereta rempuh pokok

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 3:09pm
d