mutakhir

Gaji mingguan dibenarkan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MAJIKAN boleh membayar gaji pekerja secara mingguan dan amalan itu tidak menyalahi peraturan sedia ada.

Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan menetapkan peraturan pembayaran gaji seperti peruntukan Seksyen 19 Akta Kerja 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

"Mengikut perundangan dalam negara, kita tiada halangan untuk mana-mana majikan membayar gaji mingguan sama ada mengikut jam, hari, minggu atau bulan.

"Syaratnya adalah tempoh upah tidak boleh melebihi sebulan," katanya menjawab soalan asal Nor Azrina Surip (PH-PKR Merbok) mengenai jika kerajaan membenarkan gaji dibayar secara mingguan, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang dibangkitkan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-UMNO Baling), Mahfuz berkata, perkara itu masih bergantung kepada kelulusan Kabinet.

Kepada soalan berasingan, Mahfuz berkata, 303,713 pekerja mendapat sijil dalam pelbagai bidang kemahiran menerusi Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) dan kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Katanya, pelbagai program menerusi JobsMalaysia termasuk Program Penempatan Pekerjaan (3P) turut diadakan untuk membolehkan pekerja tempatan mencari pekerjaan bersesuaian.

"Penganjuran karnival pekerjaan turut diadakan sepanjang tahun bagi menemukan pencari kerja dengan majikan secara langsung.

"Menerusi portal JobsMalaysia, pelajar lepasan pusat latihan kemahiran boleh mendaftar secara dalam talian atau di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Inisiatif itu dilakukan demi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing," katanya menjawab soalan Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-UMNO Padang Besar) mengenai sasaran dan rancangan kerajaan mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 3:11pm
d