mutakhir

Kapal Jho Low boleh dijual tiga bulan lagi? [METROTV]

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

KAPAL Equanimity dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low Teck atau Jho Low dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dijual dalam masa tiga atau empat bulan, jika tiada pihak menuntut pemilikan.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, kapal layar mewah itu boleh dijual melalui urus niaga yang telus, walaupun proses perundangan berhubung skandal 1MDB masih berjalan.

Katanya, tidak ada mana-mana negara yang mahu menyimpan bot mewah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1 bilion.

“Ia (jualan) boleh dilakukan dalam masa tiga atau empat bulan.

“Dalam hal ini kami adalah pemilik berkepentingan kerana kapal itu dibeli dengan dana 1MDB,” katanya.

Thomas berkata, wang yang diperoleh melalui penjualan kapal itu akan dipindahkan ke dalam satu akaun tetap.

"Selanjutnya, wang berkenaan akan diserahkan kepada pihak yang berjaya membuktikan pemilikan kapal terbabit dalam tuntutan sivil," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Malaysia dan 1MDB adalah plaintif manakala permohonan ex-parte (sementara) untuk merampas kapal ini adalah mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Kami mengguna pakai akta pengubahan wang haram dalam proses perundangan ini kerana undang-undang Admiralti adalah universal," katanya.

Dalam pada itu, Thomas mencabar Jho Low untuk melantik peguam yang pakar dalam Undang-Undang Admiralti berikutan kritikan melalui peguamnya yang mendakwa proses penyitaan Equanimity adalah tidak sah.

“Ini adalah satu proses perundangan yang telus... Beliau (Jho Low) boleh lantik sesiapa sahaja atau mana-mana peguam pakar dalam undang-undang Admiralti untuk cabar perintah penyitaan Equanimity," katanya.

Menjawab soalan berhubung jet peribadi Bombardier Global 5000 didakwa milik Jho Lowyang turut dituntut Malaysia untuk dibawa pulang, Tommy berkata beliau belum menerima apa-apa arahan mengenainya.

“Sekarang ada sebuah pesawat di sana... apabila ia mendarat di negara ini, baru kita akan putuskan untuk mengambil peguam yang pakar dalam undang-undang penerbangan,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 6:21pm
d