mutakhir

Pengorbanan ayah...

Oleh Mohd Khidir Zakaria

SEJAK tiga tahun lalu, Khairil Mazli Abd Maat, 40, terpaksa mengalas tugas sebagai ayah dan ‘ibu’ kepada enam anak selepas berpisah dengan isteri.

Bahkan, sepanjang tempoh itu, Khairil Mazli tidak pernah tahu ibu kepada anak-anaknya yang berusia enam hingga 19 tahun itu berada di mana.

“Saya tidak tahu ke mana dan di mana bekas isteri tinggal kerana tumpuan saya hanya membesarkan semua anak sebaik mungkin.

“Anak perempuan sulung bekerja kilang di Nilai, anak lelaki kedua sudah tidak bersekolah dan menjadi nelayan, manakala yang lain masih bersekolah,” katanya yang tidak mempunyai kerja tetap.

Menurut Khairil Mazli, dia melakukan kerja kampung dan menjadi buruh kontrak atau menerima apa sahaja upah pekerjaan halal untuk menyara keluarga.

“Kisah lama sudah saya lupakan, biarlah ia menjadi sejarah kerana anak-anak yang sedang membesar perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Bagan Kurnia, di Chuah di Port Dickson.

Katanya, dia bernasib baik kerana mempunyai jiran yang baik dan memahami serta sering membantunya ketika di dalam kesusahan.

“Saya hanya mempunyai motosikal untuk bergerak. Selalunya kalau ada kerja kampung seperti mengecat rumah atau kerja kontrak, saya tidak melepaskan peluang untuk mendapat wang belanja.

“Tahun lalu saya terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan tetapi dihentikan sejak Januari tahun ini,” katanya ketika menerima bantuan barangan makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Katanya, dia berterima kasih kepada anak sulung yang banyak membantu terutama membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan.

“Alhamdulillah, setakat ini ada sahaja kerja kampung yang ditawarkan penduduk dan dapatlah saya menyediakan keperluan harian dan sekolah anak,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 7:44pm
d