mutakhir

Penang Sentral dibuka Disember

Oleh Audrey Dermawan

SELEPAS lebih 10 tahun tertangguh, terminal pengangkutan bersepadu bagi wilayah utara, Penang Sentral, akhirnya akan dibuka pada Disember hadapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Penang Sentral adalah satu lagi langkah ke hadapan kerajaan negeri dan Pusat dalam usaha memperkasakan sistem pengangkutan awam di negara ini.

“Penang Sentral adalah sebahagian daripada sambungan perkhidmatan awam antara bas, kereta api dan feri, tetapi ia tidak berakhir di sini.

“Pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), selaku pemaju Penang Sentral mempunyai pelbagai lagi rancangan pembangunan di sini dan ia turut bergantung kepada permintaan dan sambutan pengguna,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Penang Sentral di Butterworth, hari ini.

Projek Penang Sentral yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 terpaksa melalui tempoh penangguhan panjang berikutan terbabit dalam isu pemilikan tanah.

Akibatnya, pembinaan Fasa 1 Penang Sentral di atas tanah seluas kira-kira 8.9 hektar itu hanya bermula pada 2015.

Mengulas lanjut, Chow berkata, kerajaan negeri turut bercadang untuk memajukan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan kepada perkhidmatan feri dan kereta api baharu yang akan menghubungkan antara pulau dan tanah besar.

Katanya, antara sedang dipertimbangkan adalah memperkenalkan bot pelancongan jenis Catamaran bagi menambah baik sistem perkhidmatan feri.

“Cadangan untuk menaik taraf sistem kereta api dan feri ini masih di peringkat perbincangan.

“Bagaimanapun, kita harap ia akan mendapat kerjasama daripada Kerajaan Pusat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MRCB, Shareen Iqbal berkata, reka bentuk dan sistem perkomputeran bersepadu Penang Sentral adalah termoden serta canggih berbanding sistem digunakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan di KL Sentral, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Penang Sentral menyediakan 38 tapak parkir bas, 55 lot kedai selain jejantas yang menghubungkan ke stesen feri dan stesen kereta api Butterworth.

“Penang Sentral turut menyediakan 577 tapak parkir di tingkat 6 hingga 9 demi menggalakkan pengguna kenderaan peribadi bergerak dengan pengangkutan awam bersepadu dari sini,” katanya.

Penang Sentral yang bakal dibuka pada 31 Disember ini dijangka mampu menampung kapasiti maksimum sehingga 5,000 pengunjung sehari.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 10:18pm
d