mutakhir

Beri 'nafas' pada pimpinan UMNO baharu

Oleh Ahmad Suhael Adnan

BEKAS Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak perlu memberi ruang kepada pimpinan parti yang baharu membuktikan kemampuan mencorakkan hala tuju tanpa gangguan.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bersetuju dengan saranan beberapa pihak sebelum ini apabila mahu Najib menjauhkan diri daripada urusan parti berkenaan.

“Itu pandangan sesetengah pihak dalam UMNO bahawa bekas pemimpin itu perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pemimpin baharu untuk menjalankan tugas.

“Saya setuju pemimpin baharu UMNO perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju baharu.

“Itu sebabnya bekas Presiden perlu memberi ruang, begitu juga bekas calon Presiden patut bagi ruang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Ahli Parlimen Padang Rengas yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Najib menjarakkan diri daripada parti itu.

Mohamed Nazri dipetik berkata, Najib perlu berbuat demikian bagi membolehkan UMNO dilihat relevan ke arah melancarkan transformasi kepemimpinan baharu.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilaporkan berkata, UMNO perlu ‘merehatkan’ Najib daripada sebarang kempen pilihan raya bagi memastikan permainan persepsi dalam kalangan pengundi tidak terus menjadi ‘racun’ kepada kebangkitan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRK DUN Sungai Kandis adalah manifestasi keengganan parti menyesuaikan diri dengan realiti baharu, selain menegaskan Najib yang sedang diadili, bukan UMNO.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 1:29pm
d