mutakhir

Anak durjana kena tiga tahun

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PADAH mengugut bunuh ibu dan ayahnya dengan parang selain merosakkan rumah, seorang penganggur dipenjara tiga tahun di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Faizool Amrie Razali, 28, mengaku salah terhadap tiga pertuduhan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun untuk pertuduhan pertama, tiga tahun bagi pertuduhan kedua dan setahun bagi pertuduhan ketiga.

Bagaimanapun, hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 9 Ogos 2018.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut ayahnya, Razali Awang, 60, sambil melibas parang dan membaling kulit kerang di sebuah rumah di Kampung Jejulok Banggu, di Kota Bharu, pada 11.30 malam, 8 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengugut ibunya, Badariah Ismail, 58, dengan mengejar mangsa sambil membawa parang di lokasi sama pada jam 6 pagi, 9 Ogos lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memecahkan dinding rumah, almari dan pinggan mangkuk di rumah ayahnya di lokasi sama, pada 11.30 malam, 8 Ogos lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengamuk selepas ayah dan ibunya enggan memberi wang kepadanya.

Tertuduh bertindak melibas parang ke arah ayahnya dan mengejar ibunya dengan senjata sama sebelum mengugut akan membunuh mereka sekeluarga sekiranya membuat laporan polis.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin memohon hukuman berat dengan mengambil kira mangsa adalah ibu bapanya.

“Tertuduh turut menggunakan parang untuk melakukan kesalahan itu yang boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 2:33pm
d