mutakhir

Saya dah tak campur urusan parti - Najib

Oleh Ahmad Suhael Adnan

BEKAS Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan tidak pernah mencampuri urusan parti selepas meletak jawatan sebagai Presiden pada 12 Mei lalu.

Menyatakan sokongan penuhnya terhadap pimpinan baharu UMNO, beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bebas membuat sebarang keputusan dan menentukan hala tuju parti.

Najib berkata, atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana Menteri, beliau berhak bersuara bagi mempertahankan diri serta dasar yang dilaksanakannya ketika memimpin negara.

“Datuk Seri Zahid bebas membuat keputusan, contohnya pemilihan calon di (Pilihan Raya Kecil) Sungai Kandis dan lain-lain. Saya sokong beliau sebagai Presiden yang baharu.

“Namun, saya juga harus perjelaskan persepsi atau manipulasi fakta dan angka oleh kerajaan baharu.

“Saya gunakan hak saya untuk menjelaskan dasar dan sebab ia dilaksanakan. Sebagai Ahli Parlimen, itu tugas saya. Pentadbiran UMNO bebas untuk buat apa saja, saya akan sokong,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas saranan Ahli Parlimen Padang Rengas yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang mahu Najib menjarakkan diri daripada parti itu bagi membolehkan UMNO dilihat relevan ke arah melancarkan transformasi kepemimpinan baharu.

Najib berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan adalah isu hutang negara yang didakwa mencecah RM1 trilion, sedangkan nilainya hanya RM686 juta ketika beliau meninggalkan pentadbiran.

“Mereka (kerajaan) kata RM19 bilion hilang. Saya percaya ia tak hilang dan saya mahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat siasatan menyeluruh secepat mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 2:56pm
d