mutakhir

'Dia sempat ucapkan selamat pengantin baru... '

Oleh Togi Marzuki

“DIA berpesan supaya saya menjaga ayah dan ibu dan tidak sangka itu kata-kata terakhir darinya," kata Fatin Nadzirah Zainal Abidin, 26, kakak kepada Ahmad Hazim, 22, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 1.6, Jalan Sri Bunian/Kampung Tenggayun, dekat Pontian, 7.30 malam semalam.

Ahmad Hazim yang juga penuntut tahun tiga Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang maut di lokasi kejadian apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta.

Fatin Nadzurah berkata, adiknya yang juga anak ketiga dari empat beradik itu membuat pesanan itu ketika mengucapkan tahniah kepada dirinya yang akan mengakhiri zaman bujang pada 18 Ogos ini.

“Dia mengucapkan ‘selamat pengantin baru’ dan berbahagia di samping suami hingga ke akhir hayat dan pada masa sama sempat berpesan jangan lupa jaga ibu dan ayah yang sudah susah payah membesar kami semua.

“Saya menang tidak menyangka ia kata-kata terakhir darinya kerana menganggap ia ucapan biasa seorang adik kepada kakaknya yang ingin melangsungkan perkahwinan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pontian, hari ini.

Berkongsi kesedihan, abangnya, Mohd Nadzir, 25, berkata, arwah adiknya itu sedang bercuti semester selama tiga bulan dan ingin meluangkan masa bersama rakan sekampung.

“Sepanjang cuti semester selama tiga bulan ini, dia hendak berjumpa kawan termasuk rakan sekampung dan sekelas ketika bersekolah di sekolah rendah.

“Ia mengharukan saya kerana arwah bukan saja rajin meluangkan masa menolong ibu bapa di rumah, malah pada masa sama sering menemui rakan sekampung dan sekolah sebagai usaha mengeratkan silaturahim,” katanya.

Katanya, berbanding sebelum ini, arwah adiknya bertukar sikap dari seorang yang periang dan senang bermesra dengan ahli keluarga kepada pendiam.

“Arwah juga cuma sebelum ini sering meluahkan perasaan gembira kepada ahli keluarga kerana katanya dapat menghadiri majlis perkahwinan kakaknya serta suami, Mohd Harith Mohd Isa, 26, pada 18 Ogos ini," katanya.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa baru balik dari bengkel motosikal di kampung berkenaan selepas berjumpa rakannya,

Jenazah dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Wakaf, Tenggayun, Pontian.

Ibunya, Roswati Samingun, 51, berkata, beliau bersama ahli keluarga termasuk suami Zainal Abidin Tasmakon, 57, diselubungi rasa sedih dan terharu di atas kejadian berkenaan yang tidak terduga.

“Biarpun sifatnya bertukar menjadi pendiam, namun bersifat ringan tulang, seperti bekerjasama membuat persiapan perkahwinan kakaknya.

“Majlis tetap berlangsung, namun pelbagai acara seperti iringan kompang dan muzik dibatalkan pada majlis berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Azri Noraini ketika dihubungi berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu yang dalam perjalanan dari Pontian menghala ke Kukup.

Katanya, siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan memasuki simpang kanan jalan dan cuba memotong motosikal ditunggang mangsa yang ketika itu memasuki simpang jalan.

“Siasatan awal mendapati unsur kecuaian adalah kerana memotong dan melanggar dari bahagian belakang," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 5:02pm
d