mutakhir

23 pelajar diserang histeria

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SESI pembelajaran di sebuah sekolah menengah di Kuantan, hari ini, gempar selepas 23 pelajar sekolah itu diserang histeria.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, seorang pelajar Tingkatan Dua dikatakan diserang histeria sebelum keadaan bertukar kecoh dan menganggu sesi pembelajaran pelajar lain.

Difahamkan, sesi persekolahan terpaksa ditamatkan lebih awal berikutan kejadian histeria membabitkan 23 pelajar sekolah itu berlaku selama kira-kira dua jam.

Pegawai Pendidikan Daerah Mohd Razali Mustafar berkata, pihaknya terpaksa menamatkan sesi persekolahan lebih awal dan memberi cuti selama dua hari hingga Jumaat ini.

“Tujuan kita beri cuti adalah untuk mengelak kejadian (histeria) ini merebak dan membabitkan lebih ramai mangsa, selain membolehkan siasatan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan dilakukan di sekitar perkarangan sekolah jam 4 petang mendapati ia sudah dikosongkan selepas sesi pembelajaran ditamatkan lebih awal.

Seorang kakitangan sekolah yang enggan dikenali, berkata punca kejadian histeria itu masih disiasat dan sudah dimaklumkan kepada Pejabat Pendidikan negeri.

Katanya, kejadian itu adalah yang pertama berlaku membabitkan sekolah berkenaan dan kejadian hari ini tidak membabitkan kecederaan kepada pelajar.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:33pm
d