mutakhir

Jika Dr Nur Ilyani dipecat, mari kerja di Terengganu - MB

Oleh Baharom Bakar

KERAJAAN PAS Terengganu sedia mempertimbangkan jawatan untuk Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi sekiranya pegawai perubatan itu dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja susulan surat terbukanya yang mengkritik aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Dr Nur Ilyani yang kini sedang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu Kelantan akan ditawarkan berkhidmat di hospital milik anak syarikat kerajaan negeri, sekiranya beliau hilang jawatan kerana isu itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengikuti perkembangan Dr Nur Ilyani yang dikatakan bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas menulis surat terbuka di Facebook kepada Marina mengenai pandangannya berhubung isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Jika Dr Nur Ilyani dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja selepas surat terbukanya diadukan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA), kerajaan negeri sedia mempertimbangkan jawatan untuk beliau bertugas di hospital milik anak syarikat kerajaan negeri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Dr Nur Ilyani melalui surat terbukanya kepada Marina pada 6 Ogos lalu memberi pandangan tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad ketika merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di Kota Bharu semalam dilaporkan berkata, setakat ini tiada sebarang tindakan tatatertib akan diambil terhadap Dr Nur Ilyani.

Beliau berkata, tulisan Dr Nur Ilyani adalah pandangan peribadi dan pihaknya akan mengambil perhatian sebelum membuat sebarang keputusan.

Ketika mengulas lanjut pendirian kerajaan PAS Terengganu mengenai LGBT, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menegaskan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas pelaku.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:44pm
d